FORGOT YOUR DETAILS?

PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung kerana sudi melayari Portal Rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah Darul Aman. Sejajar dengan perkembangan semasa yang menekankan kepada penggunaan ICT dalam urusan seharian, PTG Negeri Kedah amat komited dalam menyediakan Portal yang mesra pengguna dalam penyampaian perkhidmatannya. Kami menyedari bahawa pelanggan bukan sahaja berkehendakkan penyampaian perkhidmatan yang efisien, tetapi juga cepat, tepat dan mudah dicapai pada bila-bila masa dari mana-mana jua. Atas dasar itu, portal ini dibina bertujuan untuk memberikan maklumat yang komprehensif serta terkini berkaitan struktur PTG Negeri Kedah yang merangkumi visi, misi dan objektif jabatan, struktur organisasi, perkhidmatan yang disediakan serta paparan aktiviti warga PTG Negeri Kedah supaya ianya dapat dimanfaatkan oleh pengguna secara langsung.

Portal ini juga menyediakan link untuk bayaran cukai secara atas talian melalui aplikasi iBayaq dan eBayaran. Portal ini diwujudkan antara lain adalah sebagai sumber rujukan kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat mengikut keperluan semasa berkenaan urusan tanah seperti pembangunan tanah, pindahmilik tanah, permohonan tanah, penguatkuasaan, cukai tanah, permohonan hakmilik strata serta lain-lain urusan tanah sekaligus menjimatkan masa dan memudahkan pengguna membuat semakan berkaitan pelbagai urusan tanah secara atas talian. Bagi memastikan portal ini kekal menjadi sumber rujukan yang relevan, kami akan memastikan ianya sentiasa dikemaskini dengan informasi terkini, pekeliling-pekeliling pentadbiran tanah dan soalan-soalan lazim yang sering diutarakan.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, saya amat mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan dan kritikan yang membina daripada semua pelanggan dan pengunjung laman web ini. Dunia ICT sentiasa berubah dengan pantas dan tiada had sempadan. Usaha ini boleh dilakukan melalui peti-peti cadangan, e-aduan dan boleh juga menulis surat secara terus kepada pihak pengurusan.

Akhir kata, saya berharap agar portal ini akan menjadi sumber rujukan dan gelanggang perkongsian ilmu kepada sesiapa sahaja yang melayarinya. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga PTG Negeri Kedah yang sentiasa bertungkus lumus dan komited dalam menjalani tugas seharian bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan sekaligus memenuhi tahap kepuasan dan kehendak pelanggan.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

 

HAJI MOHD FAUZI BIN MUSTAFFA, AMK., BCK.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Darul Aman

1 JUN 2020

TOP