Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor hadir dalam merasmikan portal baharu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (PTG) dalam satu majlis ringkas sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Portal baharu ini dinaiktaraf selari dengan Inisiatif Kedah Digital 2020 khususnya bagi memudahkan interaksi antara pihak kerajaan dan orang awam dalam urusan pentadbiran tanah negeri secara lebih efisien.
Pelbagai ciri baharu diketengahkan di dalam portal PTG tersebut antaranya capaian pantas buat pengguna dalam mengakses maklumat dengan lebih pantas dan tepat.
Selain tu, kemudahan ‘live chat’ juga turut menjadi saluran baharu buat orang awam bagi menyampaikan cadangan, makluman serta kritikan membina kepada PTG tanpa perlu hadir ke pejabat tanah masing-masing.
Kemudahan Semak dan Bayaran Cukai Tanah juga turut diperkenalkan bagi membolehkan pembayar cukai menyemak maklumat berkenaan cukai tanah yang perlu dibayar dan terus menggunakan platform pembayaran secara talian (online) melalui portal iBayaq, tanpa perlu ke kaunter hasil.
Sejajar dengan sistem penyampaian maklumat portal baharu yang lebih interaktif dan mesra pengguna, informasi berkaitan pentadbiran tanah dapat difahami dengan lebih mudah serta diibaratkan sebagai pejabat maya yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran, Dato’ Suraya Yaacob dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Mohd Fauzi Mustaffa.