1 2 3 5 6 7 11 13

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RABU (8.1.2020)

ALOR SETAR – Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan exco kerajaan negeri merupakan antara individu yang turut memanfaatkan perkhidmatan kaunter bergerak, Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar yang berada di Wisma Darul Aman, dekat sini hari ini.

Mukhriz yang tiba kira-kira pukul 9 pagi untuk menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebelum Mesyuarat Exco dimulakan, terus menuju ke kaunter bergerak tersebut bagi melakukan semakan dan membayar cukai dikenakan ke atasnya.

Kalangan exco terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Negeri, Dato’ Dr. Ismail Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sr. Tan Kok Yew; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Dato’ Ir. Zamri Yusuf serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min yang tiba kemudiannya bagi menghadiri mesyuarat exco, turut melakukan perkara sama.

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah), Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar, Mahamad Suhaimi Man ketika ditemui WARTA KEDAH memaklumkan, kaunter bergerak tersebut telah memulakan operasinya sejak minggu pertama, awal tahun ini lagi.

“Kaunter bergerak ini biasanya dibuka di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar dan festival atau karnival tertentu. Tujuannya adalah untuk memudahkan orang ramai bagi menyemak dan membuat bayaran cukai tanah tanpa perlu hadir ke Pejabat Tanah.

“Kita berharap orang ramai dapat mencontohi kalangan pemimpin ini yang turut membuat bayaran awal. Selepas ini kita akan mengadakan kempen untuk menyedarkan masyarakat awam mengenai kepentingan membayar cukai tanah,” katanya.

Katanya, kewujudan kaunter bergerak tersebut dilihat berjaya menggalakkan orang ramai untuk membuat bayaran cukai dikenakan.

“Pada 2019, kita berjaya mengutip sebanyak RM200,000 bayaran cukai dalam tempoh lima bulan pertama menerusi kaunter bergerak ini saja,” katanya.