222 5 88 9

SELASA (05.11.2019)

ALOR SETAR – Sebanyak dua buah lori disita dengan sembilan saman dikeluarkan dalam ‘Ops Tiris’ yang dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah hari ini bagi menangani isu ketirisan hasil royalti bahan batuan di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Mohamad Che Nai berkata, operasi yang berjalan selama 12 jam sejak pukul 4 pagi itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Trafik Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pentadbiran tanah daerah seluruh negeri ini.

“Dua lori tersebut ditahan di Jalan Nami menuju ke Sik dan Kampung Derang, Pokok Sena. Kedua-duanya didapati beroperasi tanpa resit hasil, selain lori pertama yang ditahan di Sik itu, didapati beroperasi di luar waktu dibenarkan iaitu pada pukul 5.45 pagi.

“Sembilan saman dikeluarkan itu pula merangkumi daerah Kuala Muda (tiga saman), Kubang Pasu (empat saman), dan masing-masing satu saman di Sik serta Kulim,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya sebanyak 302 saman dan 11 tangkapan telah dilakukan sepanjang 2019 dengan empat individu ditahan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan kompaun.

“Sebelum ini ada di antara lori-lori yang disita telah dikompaun sehingga RM15,000 tetapi mereka tidak pernah serik. Disebabkan itu, kita akan terus menjalankan operasi seperti ini bagi memastikan pendapatan negeri tidak terjejas.

“Esok saya akan adakan pertemuan bersama pemilik-pemilik kuari di seluruh negeri ini bagi mengingatkan mereka tentang perkara ini. Antara kesalahan sering dilakukan termasuklah megguna semula doket berulang kali sehingga ‘lunyai’, bagi mengelak membuat bayaran kepada kerajaan untuk setiap trip lori yang keluar dari kuari.

Mohamad berkata, kerajaan negeri seboleh-bolehnya mahu menjalinkan konsep ‘smart-partnership’ bersama syarikat kuari yang ada di Kedah

“Menerusi konsep ini, syarikat itu boleh mendapatkan hasil sementara kerajaan negeri juga memperolehi pendapatan bagi digunakan untuk kesejaheraan rakyat.

“Tetapi jika mereka terus berdegil melanggar undang-undang, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir telah mengeluarkan arahan supaya kuari terlibat ditutup,” katanya.